KOLEKSI ARTIKEL AKRAB

KEMURUNGAN

Merasa murung atau sedih apabila ada sesuatu kejadian yang tidak diingini berlaku di dalam kehidupan kita adalah wajar dan perkara biasa. Setiap individu, kadang kala akan merasa sedih, bosan, susah hati atau tidak berguna.

Akan tetapi apabila perasaan kemurungan ini berpanjangan sehingga menyebabkan cara hidup kita berubah dan menjejaskan aktiviti seharian kita, maka kemurungan kini menjadi satu penyakit yang memerlukan perhatian serius.

Tanda-tanda kemurungan
•Perasaan sedih dan rendah diri setiap masa.
•Hilang minat untuk melakukan aktiviti-aktiviti yang lazim dibuat sebelumnya.
•Hilang selera makan dan turun berat badan.
•Susah tidur dan kerap bangun pada awal pagi.
•Merasakan keseorangan, diri tidak berharga atau menyalahkan diri sendiri.
•Sukar memberi tumpuan dan fikiran terganggu.
•Menjauhkan diri dari masyarakat.
•Menggunakan alkohol atau dadah untuk meringankan perasaan sedih.
•Memikirkan soal mati dan bunuh diri ataupun niat untuk berbuat demikian.

Apakah penyebab kemurungan?

Biasanya ia melibatkan kombinasi beberapa faktor:

•KECENDERUNGAN GENETIK – penyakit ini boleh diwarisi.
•Pesakit yang menghidapi penyakit fizikal seperti kanser, penyakit jantung dan srok akan mudah merasa sedih, rendah diri, putus asa dan putus harapan.
•Keadaan persekitaran yang memberikan tekanan mental yang kuat seperti masalah kewangan, konflik dalam perhubungan ataupun berlakunya kejadian yang menyedihkan seperti kematian orang yang dikasihi.

Rawatan kemurungan

•Mereka yang murung boleh mendapat manfaat dari kaunseling.
•Ubat-ubatan juga boleh membantu dan ini termasuklah ubatan ‘antidepressant’.
•Kesan rawatan ini tidak akan dapat dilihat dengan serta merta. Individu yang murung harus dinasihatkan supaya jangan memberhentikan rawatan mereka tanpa arahan dari Pakar yang merawat mereka; ini adalah kerana ubat-ubatan mengambil masa 2 minggu sebelum kesannya dapat dilihat.
•Bagi kemurungan yang serius, rawatan terapi electroconvulsive (ECT) adalah berkesan.


Membantu orang yang murung:
1.Bawa berjumpa doktor.
2.Berikan sokongan dan galakan.
3.Berikan nasihat yang membina.
4.Bantu menentukan matlamat hidup yang realistik.
5.Jangan menyalahkan kerana keadaannya.
6.Jangan biarkan minum alkohol atau mengambil ubat-ubat terkawal bagi mengurangkan kedukaannya.
7.Jika ia bercakap soal mati, jangan ketepikan atau memandangnya remeh dan bawa ia berjumpa doktor secepat mungkin.

1 comment:


  1. Artikel yang menarik mengenai kemurungan yang kian melanda rakyat Malaysia terutamanya golongan wanita. Statistik ini kian meningkat disebabkan tahap sosio-ekonomi yang semakin mencabar dan hubungan kekeluargaan yang tidak rapat. Pada pendapat saya, masalah kemurungan ini sebaik-baiknya dirawat dengan kaedah-kaedah yang tidak melibatkan penggunaan ubat psikiatrik seperti mengadakan sesi kaunseling dan sebagainya. Ubat psikiatrik hanya diberi sekiranya masalah pesakit telah menjadi serius seperti ada perasaan membunuh diri atau mencederakan orang lain dan sebagainya.

    ReplyDelete